TUGASAN IFOLIO
Nama : Nurul Nasuha binti Mohd NoorNo. Matrik : A153178
TUGASAN INDIVIDU 1 : REFLEKSI ILMU KETAMADUNAN
10 Cara
Mengekalkan Tamadun Malaysia
1. Mengukuhkan
sistem pentadbiran yang efisien bagi memastikan keamanan, keselamatan dan
kesejahteraan negara terjaga.
2. Peranan
rakyat dalam mewujudkan perpaduan dan persefahaman terhadap bangsa yang
berbilang kaum di Malaysia bagi mengelakkan perpecahan yang boleh menggugat
keamanan negara.
3. Pegangan
agama yang mantap serta mempunyai ketinggian akhlak yang terpuji dalam diri
setiap insan bagi membina sebuah keharmonian.
4. Mempunyai
interaksi yang baik dan berkesan antara Malaysia dengan negara lain.
5. Mengamalkan
budaya dan adat yang baik bagi setiap bangsa supaya identiti rakyat Malaysia
dapat dikekalkan dan mengelak daripada lenyap ditelan arus pemodenan.
6. Memantapkan
ekonomi negara Malaysia dengan pengurusan kewangan yang
berhemah,telus,jujur,amanah dan bertanggungjawab untuk mengekalkan kemajuan
negara.
7. Pengurangan
kadar jenayah dengan penguatkuasaan hukuman yang ketat terhadap kesalahan
jenayah.
8. Menghapuskan
amalan rasuah dalam kalangan pemimpin dan rakyat dengan cara meningkatkan keberkesanan
dalam sistem pencegahan rasuah.
9. Meninggikan kepentingan nilai akhlak setiap
individu setanding dengan kepentingan ilmu pengetahuan dalam sistem pendidikan
negara sepertimana yang diamalkan di negara Jepun.
10. Mengkaji dan
mempelajari sejarah Malaysia bagi mengelak daripada mengulangi kesilapan
pemimpin yang lalu agar pentadbiran negara ini tidak mudah jatuh di bawah
penguasaan pihak luar.
TUGASAN INDIVIDU 2 : DAYA PERSEPSI
Sekiranya benar
Islam itu agama keganasan, mengapa kita rakyat Malaysia masih boleh mengekalkan
keamanan negara walaupun rakyatnya berbilang bangsa dan berlainan agama? Malah
rakyat yang beragama Islam merupakan golongan
majoriti di negara ini dan Islam merupakan agama rasmi. Jika dilihat dari sudut
pergaulan sesama berlainan bangsa di universiti sendiri, kita dapat lihat
bahawa Islam bukanlah agama yang menyuruh penganutnya melakukan keganasan
dimana hubungan antara pelajar muslim dengan pelajar bukan muslim mempunyai
jalinan yang baik dan saling menghormati kepercayaan dan agama masing-masing. Para pelajar juga tidak
mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam menyelesaikan tugasan kumpulan yang
diberikan oleh pensyarah walaupun ahli kumpulan terdiri daripada gabungan
pelajar muslim dan bukan muslim. Hal ini membuktikan bahawa ideologi Barat yang
mengatakan Islam agama keganasan bukanlah suatu kenyataan yang berasas dan
menunjukkan bahawa penyebaran ideologi ini adalah untuk memburukkan imej Islam demi
kepentingan sendiri.
Propaganda
negara Barat berkaitan hal ini banyak menimbulkan kekeliruan dan salah faham
bukan sahaja dalam kalangan bukan muslim malah turut menjejaskan kefahaman
seseorang muslim itu sendiri terhadap agama Islam apabila penguasaan mereka dalam
media utama dunia mempercepatkan lagi penyebaran ideologi . Sedangkan agama
Islam merupakan agama yang mengutamakan kesejahteraan,keamanan sejagat dan
menentang keganasan. Istilah jihad telah disalah ertikan oleh media Barat yang
mendakwa penyebaran Islam adalah melalui mata pedang dan kezaliman. Dalam
kebanyakan peristiwa keganasan yang dikaitkan dengan Islam dan pengikutnya,
perkara sebenar, iaitu kedudukan mereka sebagai penganut Islam yang tulen,
pemahaman mereka yang cetek terhadap Islam itu sendiri dan motif keganasan
selalunya tidak diberi perhatian atau sengaja disembunyikan oleh media Barat.
Inilah satu pembohongan dan ketidakadilan yang mereka sengaja lakukan ke atas
masyarakat Islam. Setiap keganasan sudah tentu akan mengundang kerosakan dan kematian.
Hakikat yang amat jelas, melakukan kerosakan dan pembunuhan dilarang keras
dalam Islam. Begitu juga, keganasan dan pembunuhan yang dilakukan walaupun atas
nama keagamaan sudah tentu terkeluar dari ajaran Islam. Agama Islam tidak
menyuruh manusia berbunuhan sesama sendiri. Keganasan yang menyebabkan
kerosakan di muka bumi dan kehilangan nyawa merupakan perkara yang memang
dilarang dalam Islam. Namun ajaran Islam yang sebegini rupa gagal difahami oleh
Barat bahkan oleh segelintir umat Islam juga. Memang tidak dapat dinafikan.
Tetapi apa yang pasti, mereka yang melakukannya terdiri dari sebilangan kecil
umat Islam yang amat cetek kefahaman Islamnya dan terdapat antara mereka yang
menjadikan agama untuk mengaburi matlamat dan kepentingan peribadi dan fahaman
politik songsang mereka.
TUGASAN INDIVIDU 3 : CIPTA PUISI TEMA KETAMADUNAN
Puisi
Ketamadunan
Tamadun itu sebuah peradaban,
Punyai keistimewaan dan keunikan,
Miliki pelbagai pegangan agama dan budaya,
Sejarahnya terselit tauladan dan pengajaran,
Sebagai pedoman hidup setiap insan,
Kerana itulah pentingnya memahami setiap perbezaan,
Bagi mengecap sebuah keharmonian,
Keindahan akhlak penyumbang keamanan,
Sikap adil dan bertanggungjawab,
Menjadi paksi sebuah kejayaan,
Jika hilang sifat kepimpinan,
Pasti perit merasai pahitnya sebuah kejatuhan.
TUGASAN INDIVIDU 4 : KEPELBAGAIAN DALAM KESATUAN
Perbezaan
pendapat dan pelbagai parti politik boleh mengelak daripada perpecahan dan
permusuhan sesama rakyat dan pemimpin sekiranya semua pihak mengamalkan sikap
menghormati pendapat yang berbeza antara satu sama lain serta bersikap rasional
dengan setiap tindakan yang dilakukan. Sikap bertanggungjawab dan amanah juga penting
dalam diri setiap pemimpin kerana mereka merupakan ketua bagi sesebuah
institusi atau organisasi yang memegang amanah
terhadap ahli-ahlinya tidak mengira pemimpin tersebut adalah pemimpin
negara, parti politik mahupun pemimpin masyarakat. Para pemimpin juga tidak
seharusnya menghukum atau mengkritik mereka yang tidak sehaluan kerana setiap
individu mempunyai cara berfikir dan persepsi yang berbeza- beza terhadap
pilihan mereka dan mereka juga mempunyai hak untuk memilih pemimpin yang mereka
yakini boleh menyumbang kepada kemajuan negara. Sekiranya kebebasan memilih ini
ditindas, maka ianya boleh menjejaskan perpaduan rakyat..
Oleh
itu, bagi meningkatkan semangat perpaduan sesama rakyat, tidak perlulah kita
membesar-besarkan sebuah perbezaan antara pelbagai parti politik. Hal ini
kerana, isu-isu politik boleh jadi menyumbang kepada punca keretakan hubungan sesama rakyat. Kita juga seperti sudah biasa melihat atau
mendengar hal-hal politik menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat
dalam kehidupan seharian. Sekiranya perbezaan pendapat itu dipertikaikan dan
dijadikan sebuah perkara yang besar, maka ianya mempengaruhi pergaulan sesama
masyarakat dan boleh menjejaskan perpaduan sesama mereka untuk bersatu
menyumbang kepada kemajuan negara. Maka, untuk mencapai sebuah kesatuan atau
kerjasama yang tinggi dalam kalangan masyarakat, kita hendaklah sama-sama saling
menghormati dan bersatu dalam usaha menjaga,mengekalkan dan meningkatkan
kesejahteraan dan prestasi negara.
