TUGASAN IFOLIO

23:56 0 Comments A+ a-

TUGASAN IFOLIO

Nama        : Gan Hoong Jiang
No Matrik  : A156190

TUGASAN INDIVIDU 1: [KEPELBAGAIAN DALAM KESATUAN]

Soalan:
Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semuaorang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda.

Jawapan:

Pada pendapat saya semua warga tamadun mesti bersatu semula dalam membuat perancangan pembangunan tamadun bagi memastikan perkembangan tamadun yang terancang dari segi politik, ekonomi, social dan budaya. Warga tamadun boleh mengemukakan idea-idea yang praktikal untuk kemajuan tamadun. Dengan kreativiti dan kerjasama warga tamadun, saya yakin suatu tamadun yang unik dan gemilang akan dilahirkan. Bukan itu sahaja, kerjasama warga tamadun tersebut juga akan memastikan tamadun mereka berjaya dipelihara agar tidak lupus dengan arus pembangunan.

Salah satu situasi yang memerlukan semua warga tamadun untuk bersatu ialah apabila kedamaian dan ketenteraman tamadun terancam. Keadaan ini boleh berlaku apabila terdapat kuasa-kuasa asing yang ingin meluaskan tanah jajahan dengan menakluki tamadun melalui peperangan, pengaruh agama dan exploitasi ekonomi. Jika berlakunya situasi tersebut, warga tamadun mestilah bersatu dan saling bekerjasama untuk menangkis pengaruh luar. Dengan itu, saya yakin sesuatu tamadun tidak akan mudah dipengaruhi atau diancam oleh kuasa-kuasa asing dengan adanya perpaduan warga tamadun.



TUGASAN INDIVIDU 2: [CIPTA PUISI TEMA KETAMADUNAN]

Tamadun Merdeka

oleh: Gan Hoong Jiang


Inilah pohon bangsa

Teguh berpaut pada akar budaya

Pasak kukuh di bumi merdeka.

Tanahnya digembur tangan warga

Benihnya disemai tatasusila

Disiram ilmu dan pendidikan.

Jangan biarkan pohon bangsa lupus dengan kemajuan

Sehingga dahannya rapuh dipatah kekhilafan

Peliharalah bangsa dengan perpaduan.

Maka teruskanlah kegemilangan tamadun

Penuh keyakinan dan kegigihan

Menyambut Cabaran Zaman.



TUGASAN INDIVIDU 3: [DAYA PERSEPSI]

Soalan:

Di kalangan sebahagian media Barat cuba menonjolkan Islam adalah agama keganasan dan dikaitkan dengan perkataan Jihad. Berdasarkan temuduga kamu berkaitan hal ini dengan pelbagai etnik dari rakan2 kamu di UKM...Apa pandangan orang Cina di Malaysia?
Apa pandangan orang Melayu di Malaysia? Apa pandangan bangsa2 lain di Malaysia?

Jawapan:

Pandangan Orang Cina terhadap agama Islam di Malaysia 
 
            Berdasarkan temuduga, ramai rakan-rakan berbangsa cina tidak berpendapat bahawa agama Islam merupakan agama keganasan. Walaupun berlakunya tragedi 13 Mei 1969, kaum Cina berpendapat bahawa tragedi tersebut bukanlah disebabkan oleh agama Islam dan konsep Jihad tetapi disebabkan oleh pengaruh politik masa tersebut.  Bukan itu sahaja, mereka turut berpendapat bahawa agama Islam mementingkan unsur kerohanian dan keimanan.  Hal ini dapat diperlihatkan melalui cara sembahyang penganut Islam dan amalan memberi salam semasa berjumpa dengan orang tua.

Pandangan Orang Melayu di Malaysia

            Rakan-rakan berbangsa Melayu tidak bersetuju bahawa agama Islam merupakan agama keganasan. Mereka juga membantah pendapat media-media barat yang cuba mengaitkan perkataan Jihad dengan unsur keganasan. Dengan itu, mereka turut memberi penerangan tentang maksud “Jihad”.  Dalam knoteks Islam, erti kata Jihad ialah berjuang dengan bersungguh-sungguh. Mereka juga berpendapat bahawa istilah jihad sering disalahfahami oleh yang tidak mengenal prinsip-prinsip Din Islam sebagai 'perang suci' (holy war); istilah untuk perang adalah Qital, bukan Jihad.

Rakan-rakan berbangsa Melayu juga mengatakan bahawa keganasan tidak boleh dikategorikan sebagai jihad; Jihad dalam bentuk perang harus jelas pihak mana yang terlibat dalam peperangan, seperti halnya perang yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w. yang mewakili Madinah melawan Makkah dan sekutu-sekutunya. Alasan perang tersebut terutama adalah kezaliman kaum Quraisy yang melanggar hak hidup kaum Muslimin yang berada di Makkah (termasuk merampas harta kekayaan kaum Muslimin serta pengusiran). Namun, Jihad tidak boleh dilaksanakan kepada orang-orang yang tunduk kepada aturan Allah atau mengadakan perjanjian damai ataupun ketaatan.

            Lantaran itu, mereka beranggapan bahawa media Barat tidak cukup memahami agama Islam dan telah memberikan pandangan yang kurang tepat dan hal ini  telah menjatuhkan imej agama Islam.


Pandangan bangsa-bangsa lain di Malaysia

            Kaum India berpendapat bahawa agama Islam amat menitikberatkan kesusilaan dan keimanan. Hal ini adalah disebabkan kaum Melayu tidak pernah memaksa kaum lain untuk menganuti agama Islam. Sebaliknya, kaum Melayu sering memaparkan pengajaran-pengajaran Islam dan nilai murni yang tertera dalam agama Islam dalam kehidupan seharian. Oleh itu, mereka berpendapat bahawa unsur keganasan merupakan elemen yang bertentangan dengan agama Islam.




TUGASAN INDIVIDU 4: [REFLEKSI ILMU KETAMADUNAN]

Soalan:

Berdasarkan video-video berkaitan ilmu ketamadunan yang telah diuploadkan dalam Telegram dan Open learning dan perjumpaan dalam dewan kuliah... Senaraikan 10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain faktor.

Jawapan:

Cara-Cara Memastikan Tamadun Malaysia Akan Bertahan Lebih Lama
1. Perasaan cinta akan tanah air dan semangat patriotik harus disemai dalam kalangan masyarakat Malaysia bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa menjadikan kepentigan negara sebagai prioriti pertama selaras dengan peribahasa yang berbunyi “biar putih tulang, jangan putih mata”.

2. Rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kempen, ceramah, wawancara serta pameran harus sentiasa dianjurkan untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri.

3. Rakyat Malaysia harus menghayati dan menghormati pegangan agama masing-masing. Hal ini adalah kerana kerohanian yang kukuh amat penting dalam usaha memelihara kegemilangan tamadun selaras dengan prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

4. Warga Malaysia dari setiap lapisan masyarakat harus saling menghormati dan bertoleransi dalam menjalankan aktivit harian. Dengan itu, semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat dipupuk dan diperkukuhkan bagi menjamin keamanan dan ketenteraman tamadun Malaysia.

5. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Contohnya, pertandingan berbalas pantun dan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang.

6. Ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak tentang nilai-nilai murni orang timur dan budaya supaya anak-anak dapat memahami dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Dengan itu, tamadun Malaysia dapat diteruskan.

7. Rakyat Malaysia juga haru bijak dan bersikap rational dalam memilih pemimpin negara kerana hanya pemimpin yang berpotensi dan berkaliber dapat membangunkan negara kita serta memastikan keberterusan tamadun Malaysia.

8. Pemimpin Malaysia harus menwujudkan sistem pemerintahan dan perundangan yang adil saksama lagi teratur bagi mengatur perlakuan dan tindak tanduk masyarakatnya dalam segala kegiatan kehidupan. Hal ini juga penting untuk mengelakkan persengketaan dan peperangan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

9. Pemimpin Malaysia harus berpandangan jauh dalam membuat perancangan pembangunan negara bagi memastikan urbanisasi yang terancang dalam negara kita dan dapat mengapai impian untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 selaras dengan Wawasan 2020.

10. Pemimpin Malaysia harus berfikiran terbuka dan sentiasa menjalin hubungan dengan tamadun-tamadun lain di rantau asia. Dengan hubungan erat yang terjalin, maka pertukaran idea, ilmu dan teknologi dapat dijalankan dengan lancar.