TUGASAN IFOLIO

23:08 0 Comments A+ a-

Nama        : Amira Amelia binti Adnan
No Matrik : A 153870

TUGASAN INDIVIDU 1: [KEPELBAGAIAN DALAM KESATUAN]

Soalan :
Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik
demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semua 
orang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda.

Jawapan :
Perkataan politik merupakan suatu perkataan yang bersinonim dengan perkataan siasah, kenegaraan, kerajaan, pemerintahan, dan pentadbiran negara. Suatu parti politik merupakan satu golongan yang bergerak untuk tujuan dan dasar yang sama. Dasar dan tujuan ini sudah semestinya demi mencapai kejayaan dan keunggulan negara. Kepelbagaian dalam dasar dan tujuan yang wujud adalah demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Namun, terdapat beberapa keadaan dan situasi yang amat memerlukan kesatuan dan persetujuan semua demi masa depan negara ataupun tamadun. Berikut adalah keadaan dan situasi tersebut ;
·    Bersatu padu dalam persetujuan untuk meningkatkan nilai ketamadunan dalam diri setiap rakyat dengan memberi pengetahuan dan pembelajaran kepada rakyat seperti membina lebih banyak pusat pengajian seperti universiti dan sekolah serta meningkatkan lagi  mutu dan nilai pusat pengajian tersebut.
·  Bekerjasama dalam mengelakkan ancaman daripada kuasa asing dengan mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum di negara ini.
·    Bersungguh-sungguh mencipta kejayaan dan pencapaian yang cemerlang sama ada dalam aspek sosial, ekonomi, sains dan teknologi dalam membangunkan negara seperti penciptaan model kereta keluaran daripada negara sendiri.

TUGASAN INDIVIDU 2: [CIPTA PUISI TEMA KETAMADUNAN]


TAMADUN
OLEH: AMIRA AMELIA ADNAN

Kala malam cahaya terang,
Di bawah pancaran bulan yang bulat,
Tersingkap sebuah urita yang agung,
Yang jelas merungkau ragu di hati.

Mendengarkah engkau suatu kisah,
Yang tasmir terpampang di ukiran mata,
Segala bukti yang tampak nyata,
Yang hanya tinggal untuk digali.

Terdampar bintang di kaki langit,
Menerangi malam yang penuh hitam,
Keunggulan tamadun suatu tuhfat,
Jangan kau urup dengan derita.

Alangkah sayang hilangnya teja,
Penatnya langkah mencari-cari,
Akibat tamaah menguasai diri,
Hancurlah sudah jati sukma.

TUGASAN INDIVIDU 3: [DAYA PERSEPSI]

SOALAN :
Di kalangan sebahagian media Barat cuba menonjolkan Islam adalah agama keganasan dan
dikaitkan dengan perkataan Jihad. Berdasarkan temuduga kamu berkaitan hal ini dengan pelbagai
etnik dari rakan2 kamu di UKM...Apa pandangan orang Cina di Malaysia?
Apa pandangan orang Melayu di Malaysia? Apa pandangan bangsa2 lain di Malaysia?

JAWAPAN :
PANDANGAN ORANG MELAYU : Agama Islam merupakan ajaran yang memerlukan seorang yang beragama Islam itu untuk mengagungkan Allah S.W.T dan mencintai kedamaian. Islam itu sendiri bermaksud dari segi bahasa sebagai sejahtera. Sudah pasti agama Islam itu amat mementingkan kesejahteraan dan menolak sebarang bentuk keganasan kerana itu adalah perkara yang amat bercanggah dengan agama itu sendiri. Provokasi daripada media barat yang sering menjolok dan melabelkan Islam itu adalah agama keganasan dan mengaitkan hal ini dengan eleman jihad yang digunapakai oleh orang Islam adalah perkara yang salah kerana mereka sendiri tidak mengkaji dan cuba memahami di sebalik makna dan pengertian jihad itu daripada sudut agama Islam ini sendiri. Jihad adalah bermaksud berjuang ataupun berusaha dengan keras. Melalui konteks agama Islam, jihad adalah suatu perjuangan untuk menegakkan agama yang ditindas dan jihad untuk melawan hawa nafsu. Kedua-dua jihad ini adalah suatu perjuangan untuk menegakkan agama Islam dan menjadi orang Islam yang sentiasa berada di atas jalan yang benar dalam mencari keredhaan Allah S.W.T.

PANDANGAN ORANG CINA : Daripada sudut perspektif kaum cina, mereka mengatakan bahawa mereka tidak memahami dan mengetahui makna sebenar perkataan jihad. Mereka juga kuang mengetahui mengenai agama Islam. Maka, mereka mudah mempercayai kata-kata yang dikeluarkan oleh pihak Barat mengenai agama Islam yang dikaitkan dengan keganasan. Namun, mereka juga masih mempercayai bahawa masyarakat Melayu yang beragama Islam di Malaysia ini tidaklah seperti apa yang dikatakan oleh pihak Barat.

PANDANGAN ORANG INDIA: Melalui persahabatan dengan rakan-rakan yang berasal daripada kaum melayu dan beragama Islam, momokan yang diberikan oleh media barat yang mengatakan bahawa agama Islam merupakan agama keganasan adalah suatu perkara yang sukar untuk diterima. Walaupun kebanyakan orang India tidak memahami makna sebenar jihad, tetapi mereka (orang India) masih mempercayai bahawa masyarakat melayu yang beragama Islam di Malaysia ini tidak sama seperti apa yang dikatakan oleh media barat. Melalui penyertaan mereka ke majlis-majlis yang dianjurkan oleh masyarakat Melayu seperti menghadiri rumah terbuka dan melawat rakan-rakan kaum Melayu mereka dapat melihat dan menilai sendiri budi pekerti serta sikap yang ditonjolkan oleh kaum masyarakat Melayu itu sendiri dan mereka mempercayai bahawa setiap agama itu amat mementingkan keharmonian dan kedamaian.

p/s : Pandangan setiap individu adalah berlainan..


TUGASAN INDIVIDU 4: [REFLEKSI ILMU KETAMADUNAN]

SOALAN:
Berdasarkan video-video berkaitan ilmu ketamadunan yang telah diuploadkan dalam Telegram dan Open learning dan perjumpaan dalam dewan kuliah... Senaraikan 10 cara supaya Tamadun Malaysia akan bertahan lebih lama daripada keruntuhan akibat globalisasi dan lain-lain faktor.
JAWAPAN :
  
·        Merangka struktur pembelajaran yang lebih efektif yang bukan sahaja merangkumi dari segi akademik tetapi juga merangkumi aspek sahsiah, mental dan daya ketahanan berfikir untuk melahirkan generasi muda yang berfikiran matang.
·        Memberi peluang kepada setiap individu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dengan membuka lebih banyak institusi yang dapat mengajar kemahiran dan ilmu untuk melahirkan masyarakat yang dinamik, berkemahiran dan bebas daripada kejahilan.
·        Memberi bantuan wang ataupun tenaga kepada pengusaha perniagaan, pertanian, penternakan secara kecil-kecilan untuk membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan.
·        Mengkaji, menilai dan menghargai tinggal-tinggalan sejarah untuk menyuntik semangat dan sayang akan negara serta perasaan untuk melindungi negara daripada dijajah oleh kuasa-kuasa asing.
·        Memberi hukuman yang berat kepada mana-mana individu yang memulakan penindasan dan melakukan kekacauan yang merosakkkan kesejahteraan antara kaum yang pada akhirnya menyebabkan perpecahan antara kaum.
·         Setiap individu yang berlainan kaum dan agama perlu hormat-menghormati dan bertolak-ansur antara satu sama lain dengan mempelajari adat dan budaya kaum mahupun agama yang berlainan agar keharmonian negara dapat dikekalkan.
·        Sentiasa membuat persiapan dalam menghadapi bencana alam untuk mengurangkan kadar kerosakan yang akan dialami di samping menjaga hak-hak rakyat seperti membina lebih banyak pusat perlindungan untuk melindungi masyarakat yang akan terlibat dengan bencana alam dan sentiasa bersedia dalam menyediakan keperluan yang akan diperlukan oleh masyarakat tersebut.
·        Merangka banyak aktiviti dan program yang mampu mengeratkan lagi hubungan antara kaum dan masyarakat di negara ini melalui institusi pendidikan, persatuan penduduk di kawasan perumahan sama ada di dalam ataupun luar bandar serta di tempat kerja.
·        Merancang lebih banyak program kesedaran dan aktiviti-aktiviti yang menarik dalam penjagaan kesihatan kepada semua lapisan masyrakat melalui karnival kesihatan ataupun secara atas talian seperti hebahan melalui Facebook, Twitter, Blog dan Instagram untuk meningkatkan kadar peratusan tahap kesihatan yang baik dalam kalangan masyarakat.
·        Bersedia menerima perubahan dari segi sosial, ekonomi dan teknologi yang rasional demi kemajuan dan perkembangan negara.