TUGASAN IFOLIO

07:05 0 Comments A+ a-

Dalam mana-mana tamadun, mesti ada perbezaan pendapat dan pelbagai parti politik
demi kelangsungan kekuatan sesuatu negara. Dalam keadaan bagaimanakah semua 
orang mesti bersatu semula demi masa depan tamadun? Diskus dengan rakan-rakan anda.

Di Malaysia, terdapat pelbagai kaum yang menetap di sini yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan bumiputera. Variasi ini menjadi satu daripada keunikan yang ada di Malaysia. Tambahan pula, ia merupakan antara tonggak utama negara sehingga mampu berdiri setanding dengan negara maju yang lain. Namun yang demikian, perpaduan di antara kaum yang berbeza ini dilihat semakin goyah. Hal ini harus dititik beratkan dalam menjamin masa depan tamadun Malaysia. Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu dipupuk dari semasa ke semasa. Usaha ini amat penting dilakukan untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara. Persoalannya ialah bagaimana rakyat harus bersatu semula untuk masa depan negara?

Akar tunjang dalam perpaduan bermula dari rakyat sendiri. Masyarakat sendiri  hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat merosakkan rasa muhibah dan perpaduan. Dalam menguatkan lagi perasaan kesefahaman antara kaum,  penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan harus dijalankan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warganegara, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara masyarakat berlainan bangsa.

Selain itu, usaha yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia haruslah mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi terutamanya nilai toleransi. Hal ini amat penting untuk mengelakkan berlakunya sebarang pertelingkahan atau perselisihan faham yang akan memecahbelahkan rakyat Malaysia. Menurut Tun Dr. Mohathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4, kita haruslah mengetepikan emosi yang akan menyebabkan perpecahan. Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah meneruskan kehidupan dalam suasana yang aman dan saling membantu atau bekerjasama serta mengikis sikap ‘bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat terus berkekalan.

            
         Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu ibarat ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat dapat dikekalkan. Janganlah meranapkan impian Malaysia untuk mencapai wawasan 2020. Biar matahari terus bersinar, biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang. Ingatlah bahawa sekali sahaja perpaduan hancur, maka sukarlah untuk kita membinanya kerana telur sesanggkak, pecah sebiji pecah semuanya.